Rabu, 15 Oktober 2008

YB J: Takziah

Saya gempar apabila mendengar berita bahawa YB J telah meninggalkan kita. Saya benar - benar tidak sangka bahawa sekembalinya saya dari hibernasi saya akan berdepan dengan insiden yang amat terkutuk ini. Mendiang YB J merupakan seorang yang tulus di dalam perjuang beliau dan amat tekad dalam mencapai sesuatu impian. Saya amat terkilan kerana tidak dapat melihat jenazah beliau bagi kali terakhir.

Saya telah mengenali Mendiang YB Josephine semenjak dari kecil lagi. Kami pernah belajar bersama di Sekolah Mubaligh ketika beliau tinggal sementara di Gua Hantu. Kedua ibubapa mendiang menginginkan mendiang belajar dari para mubaligh sehingga sanggup merentas beberapa daerah untuk menghantar belajar.

Beliau dilahirkan di dalam keluarga berketurunan Cha. Moyang mendiang datang dari negeri Che hampir lebih 200 tahun lagi, mereka datang untuk mencari peluang kedamaian dan kesejahteraan daripada kesusahan hidup di negeri asal mereka. Mereka pada asalnya merupakan petani, bercucuk tanam sayur-sayuran. Tetapi setelah sekian lama, keturunan Cha telah lebih fokus kepada cabangan industri agro, iaitu, industri perhotelan agro. Mereka menguasai dan hampir memonopoli industri tersebut.

Semenjak sebelum Merdeka, keluarga mendiang dan majoriti keturunan Cha menyokong POC. Walaupun secara hakikinya tidak wujud satu kaum Cina yang hegemonik, tetapi di atas kepentingan ras, keturunan Cha turut menyokong perjuangan POC. Namun begitu, kedua ibubapa mendiang tidak mempunyai fikiran yang sehaluan. Mereka enggan akur denggan kepentingan ras, pada mereka manusia semua dijadikan setaraf. Yang membezakan manusia adalah sifat kemanusian yang terikat dalam jiwa manusia. Kalau dari segi agama keturunan Cha telah menyatakan bahawa semua manusia datang dari seorang lelaki bernama Ch dan seorang wanita yang bernama Ha. Manakala secara saintifiknya genetik manusia tidak berbeza antara manusia pelbagai ras. Itulah yang dipercayai oleh kedua ibubapa mendiang.

Di atas perbezaan tersebut, ibubapa mendiang menghantar mendiang belajar ke sekolah mubaligh dan tidak ke sekolah jenis kebangsaan Cha, bagi membolehkan mendiang belajar di dalam keadaan yang lebih terbuka dan bebas dari belenggu ras.

Mendiang YB J semenjak sekolah lagi merupakan seorang yang teguh sifat keadilannya dan mempunyai empati yang tinggi kepada insan yang lain. Ada satu insiden ketika disekolah, seorang pelajar lelaki Melayu di belasah oleh sekumpulan budak Cha. Melihat kejadian tersebut, mendiang terus berlari dan mengadang badan pelajar tersebut dengan badannya daripada terus dipukul. Badan mendiang turut dipukul beberapa kali sebelum budak-budak Cha tersebut lari. Tidak pula mendiang menjerit kesakitan, malahan mendiang sempat memberi senyuman kepada pelajar lelaki Melayu tersebut sebelum rebah ke tanah.

Mendiang semasa di bangku sekolah begitu aktif dengan berpersatuan. Mendiang pernah dilantik menjadi Presiden Persatuan Pembela Rakyat Termiskin. Semasa menjadi Presiden persatuan tersebut, mendiang begitu aktif mendapatkan bantuan sumbangan dari semua pihak termasuk POC, POM jugalah parti GoPek. Selain dari itu, petisyen demi petisyen beliau telah kemuka kepada Kerajaan bagi menarik perhatian pemerintah terhadap kesusahan rakyat termiskin. Mendiang pernah duduk berbulan lamanya bersama rakyat termiskin bagi merasai kehidupan yang perit lagi susah. Mendiang menulis pemerhatian daripada pengalaman tersebut di dalam satu artikel, mendiang menulis, "Keprihatinan masyarakat adalah seperti susu, kemiskinan dan kedaifan adalah seperti nila".

Susah untuk saya menerima kehilangan mendiang J. Hanya hati dan jiwa yang kosong akan belas ehsan dan sesat akan tujuan dapat memikirkan tindakan yang keji ini. Sang Pertiwi telah dibunuh dengan kejam oleh Sang Algojo. Malangnya Sang Algojo yang dinobatkan.

Kembali daripada Hibernasi

Maaf kerana telah lama tidak menulis di dalam blog ini. Senang berehat dan bercuti bagi mengembalikan kudrat ke dalam urat saraf.