Rabu, 30 Julai 2008

Ceramah di Kg. Pontianak Rafflesia

Sepanjang pagi bermesyuarat di dalam Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Parti Golongan Pekerja (GoPek). Menyentuh isu-isu kepimpinan negara yang semakin rapuh, keadaan ekonomi yang semakin goyah dan kedudukan GoPek di dalam Pakatan Nasional Teras Agenda Negara (PaNTANg). Sejurus mesyuarat, terus beredar ke Kg. Pontianak Rafflesia untuk Gerak Mesra bersama suku Pontianak.

Ceramah berkisar mengenai pembangunan dan keadilan yang akan dibawa oleh GoPek sekiranya menjadi barisan pembangkang. Menguraikan cabaran yang dihadapi sebagai pihak pemerintah, yang senantiasa tindak-tanduknya diteliti oleh pihak media dan pembangkang sehinggakan tiada lagi kesepian privasi. Kekangan - kekangan yang dihadapi seperti kekurangan sumber kewangan, masa dan tenaga.

Penduduk Kg. Pontianak Rafflesia faham akan intipati ceramah yang disampaikan. Mudah-mudahan lebih mudah menjadi pembangkang di dalam pilihanraya akan datang.

Sabtu, 26 Julai 2008

Ketrampilan Seorang PM

Seorang PM perlu mempunyai ketrampilan peribadi yang tinggi lagi mulia. Apa maksud peribadi yang tinggi itu? Sudah tentu peribadi tinggi itu letaknya pada perkataan - perkataan dan ucapan yang baik - baik, tertib dan sopan, perbuatan - perbuatan dan tingkah laku yang cermat dan bertanggungjawab. Lebih tinggi jawatan yang disandang oleh seorang pemimpin maka lebih tinggilah tahap ketertiban, kesopanan, kecermatan dan kepertanggunjawabannya yang harus diletakkan ke atas diri sendiri dan begitu jugalah apa yang diharapkan oleh pengikut-pengikutnya. Maka kerana jawatan PM itu jawatan tertinggi di negara ini, maka sudah tentu tahap peribadi yang tinggi itu berada paling atas dan berada di atas puncak keperibadian jika dibandingkan dengan pengikutnya.

Tetapi tidak cukup seseorang PM itu hanya mempunyai keperibadian yang tinggi. Semua orang boleh 'berlakon' dengan keperibadiannya. Cakaplah dengan lemah-lembut, bercakaplah dengan sopan santun, silang lah percakapaan dengan ayat - ayat dari kitab - kitab suci, janjilah dengan janji manis, maka sudah tentu seseorang pemimpin itu boleh dilihat dengan keperibadian yang tinggi. Apa yang lebih mustahak bagi seorang PM itu ialah keperibadian yang mulia. Keperibadian yang mulia tidak boleh dilakonkan, ianya hanya akan terbit dari hati yang suci murni dan niat yang tulus lagi ikhlas. Keperibadian yang mulia akan membuat seseorang PM itu mengotakan yang dikata, memastikan janji-janji ditepati dan sentiasa berada dalam keadaan yang bersederhana dan merendah diri.

Jumaat, 25 Julai 2008

Coretan Memori dari Gua Hantu

Mungkin para pengunjung sekalian tidak begitu mengenali daerah yang dinamakan Gua Hantu ini. Izinkan saya memberi sedikit maklumat mengenai daerah indah nan permai ini.

Gua Hantu merupakan daerah seluas 200 kilometer persegi. Dari segi geografinya, kawasan tanahnya agak landai namun mempunyai beberapa bukit tinggi (yang melebihi 1000 meter) di dalam kawasannya. Bukit tertinggi, iaitu Bukit Dewa Jembalang (1154 m) merupakan puncak tertinggi di daerah ini, dari bukit ini, terdapat sebuah air terjun diberi nama Air Terjun Langsuir Sedih Kepalang yang merupakan air terjun tertinggi di negeri ini (punca air terjun di 450 m dari paras laut). Pada kaki bukit ini, dimana Air Terjun Langsuir Sedih Kepalang bertemu dengan Tasik Darah Membuak, terdapat sebuah gua yang diberi nama Gua Hantu.

600 tahun sebelum kedatangan penjajah, Gua Hantu ini merupakan pusat tamadun yang berpengaruh. Pelbagai artefak dan bahan sejarah masih terdapat di dalam Gua Hantu tersebut. Beberapa candi terbesar di negara ini terdapat di dalam Gua Hantu.

Dari segi penduduknya, hampir 90% penduduk daerah Gua Hantu ini terdiri daripada kaum pribumi, yang secara kolektifnya digelar Kaum Seram. Kaum seram ini terdiri daripada beberapa suku yang agak besar, antara lainnya ialah, Suku Nus Ferat Barat, Suku Nus Ferat Timur, Suku Punti Anak, Suku Zu Umbi, Suku Jemba Alang dan Suku Asur Ris. Suku Asur Ris merupakan suku yang tertua di kalangan suku - suku yang lain.

Rabu, 23 Julai 2008

Ceramah di Kg. Tengkorak Terbang

Pada petang tadi, saya sempat melawat ke Kampung asal saya, Kg. Tengkorak Terbang. Sepanjang perjalanan ke sana kenangan ketika saya masih kecil di mana sempadan dunia bermula di kaki Bukit Penanggal dan akhirnya di Sungai Tengkorak Berdarah. Dunia ketika itu amatlah indah dan mudah. Tanggungjawab terberat ketika itu adalah memastikan bahwa seluar pendek yang dipakai tidak koyak dan terlampau kotor.

Hari ini saya, menghampiri Kg. Tengkorak Terbang dengan tanggungjawab yang berat bagi memastikan penduduk kampung faham akan tindakan kerajaan bagi membina paip gas merentasi desa aman permai ini. Penduduk kampung menerima ketibaan saya dengan begitu meriah sekali. Hampir semua orang - orang besar kampung hadir bersama.

Penerangan mengenai projek pembangunan diterima penduduk kampung dengan penuh pemahaman. Pembangunan yang akan melalui kampung akan memberi manfaat jangka panjang. Terutama sekali dengan pembinaan loji kawalan kurang 5 km dari kawasan kampung. Sudah tentu lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan bagi penduduk kampung.

Sebelum berangkat pulang, sempat menjamu selera bersama keluarga terdekat dan ketua kampung, Pak Andak.

Selamat Datang Ke Laman Blog YB Gua Hantu

Salam Sejahtera,

Kepada semua rakan taulan, kenalan, sahabat handai, teman, kawan, jiran tetangga dan rakyat jelata sekalian, saya menyambut persinggahan saudara dengan tangan yang terbuka, lapang dada dan suci hati ke Laman Blog saya yang tidak seberapa ini.

Laman blog ini akan saya isikan dengan nukilan rasa, cetusan ilham dan pengalaman pahit manis yang diharapkan dapat digarap oleh pembaca sekalian dan dapat menimbulkan perasaan dan fikiran yang kudus.

Saya menerima dengan hati yang terbuka apa sahaja komen, kritikan dan pandangan pengunjung semua asalkan ianya berlandaskan hati yang suci lagi murni dan niat yang tulus.

Sekian